Bersatu padu merealisasikan aspirasi negara




Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Muhammad Asri Haji Awang Abas

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 18 April. - Wawasan Brunei 2035 kekal sebagai rangka kerja strategik utama negara dalam memacu pembangunan sosioekonomi Negara Brunei Darussalam ke arah mencapai kemakmuran negara yang mampan dan kesejahteraan rakyatnya.


Sejajar dengan komitmen ini, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus meneliti dan mengemas kini Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 secara terperinci bagi memastikan ia kekal relevan, adaptable dan berdaya tahan dalam apa jua keadaan, khususnya dalam menangani cabaran ketidaktentuan geopolitik dan pergolakan di peringkat global.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dalam titah baginda menekankan perkara tersebut semasa mempengerusikan Mesyuarat Sesi Khas Wawasan Brunei 2035 yang berlangsung di Istana Nurul Iman, pagi tadi.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga mengambil maklum bahawa langkah-langkah susulan daripada Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 Kali Pertama bagi Tahun 2025 telah dilaksanakan melalui Mesyuarat-mesyuarat Koordinasi Wawasan Brunei 2035 serta perbincangan di peringkat Jawatankuasa-jawatankuasa Kerja Manpower, Social dan Economic.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turut menekankan KPI dalam Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 hendaklah mencerminkan keutamaan negara yang relevan, strategik dan menyeluruh kerana KPI berkenaan bukan sahaja menjadi asas kepada proses pembuatan keputusan yang berkesan, malah turut berfungsi sebagai panduan dalam menilai kemajuan negara.


Baginda seterusnya bertitah bahawa penyelarasan merupakan elemen yang kritikal bagi menentukan pelaksanaan pendekatan Whole Of Government dan Whole Of Nation, termasuk memastikan penyelarasan KPI sebagai satu sistem yang bersatu padu dan sumbangan tindakan dapat dikesan dalam pencapaian aspirasi negara.


Selain itu, baginda menyeru agar pihak-pihak berkepentingan tidak cuma memfokus kepada KPI masing-masing, dalam hubungan ini, kepimpinan menjadi penentu dalam memenuhi hala tuju, memacu pelaksanaan dan membuat keputusan kepada kejayaan dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia selanjutnya menzahirkan harapan bagi mekanisme penetapan dan semakan semula KPI adalah berdaya tahan bagi membolehkan penilaian semula sasaran secara berkala dan diselaraskan dengan perubahan di luar jangkaan.


Dalam perkara ini, ukuran kejayaan Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 bukan sekadar memenuhi sasaran tetapi pencapaian benar-benar dapat dirasakan oleh rakyat dalam kehidupan seharian yang mana inilah kejayaan yang sebenar.


Dalam konteks ini, Kebawah DYMM menekankan kepentingan bersatu padu dan menjadikan bidang-bidang utama pembangunan sebagai keutamaan dalam berhadapan dengan situasi ketidaktentuan global serta akan terus menjadi pemacu utama dalam merealisasikan aspirasi negara.


Baginda seterusnya bertitah Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 kekal sebagai dokumen strategik utama dalam memandu pembangunan negara menjelang tahun 2035.


Dengan pelaksanaan yang berkesan, didukung oleh KPI kebangsaan yang jelas serta tindakan yang terancang, baginda penuh yakin negara berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.


Kebawah DYMM turut menzahirkan harapan bagi semua pihak untuk terus melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh iltizam, integriti dan akauntabiliti.


Komitmen yang berterusan dan kerjasama yang erat titah baginda lagi, akan memastikan Wawasan Brunei 2035 terus menjadi pemacu kepada kemajuan negara, seterusnya menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran yang berkekalan bagi generasi masa kini dan akan datang.

Close